topbella

Sunday, February 20, 2011

Cerpen: Riak Berkocak Di Sungai Baram

Sungai mengalir dengan warna kelazimannya yang berkelodak coklat. Arus agak deras sejak dua, tiga hari ini setelah hujan turun dengan lebatnya di hulu. Akam Ipoi tercanguk merenung masa depan dan masa silam di sebalik kocak air yang membedal segala batu-batu di tebing sungai Baram yang banyak menyimpan pelbagai kisah duka dan gembira. Rentetan hidupnya kian coklat seperti warna pekat air sungai itu. Hatinya kian resah. Sungai Baram kini menjadi lubuk beracun kepada spesis-spesis ikan yang suatu dulu menjadikannya sebagai taman indah kayangan. Ikan belida, semah, baung dan segala-galanya sudah semakin menyisih. Hatinya resah . hatinya gundah. Kehidupan mereka sekeluarga semakin susah, semakin semput seperti angin letih bertiup. Dirinya semakin letih sekarang.

Kelmarin anaknya – Marlisa – meminta duit untuk membeli buku. Abon dan Seni yang kini dalam Tahun empat dan lima juga tidak mahu ketinggalan, juga ingin mendapatkan buku latihan, buku ulangkaji dan entah buku apa-apa lagi. Tanamannya pada tahun ini juga kurang menjadi. Buah durian banyak yang tidak mendatangkan hasil. Bunga durian yang baru mencambah, entah bagaimana menjadi santapan kelawar pada waktu malam. Hancur segala harapannya. Buah durian yang sedikit sahaja menjadi pun tidak mendatangkan pulangan yang banyak. Peraih buah hanya berani mengambil buah itu seringgit sahaja sebiji. Kata mereka buah durian kurang berharga di Miri pada masa sekarang. Banyak sangat buah yang datang dari Bekenu dan lain-lain kawasan. Akam Ipoi yang tidak tahu apa-apa itu hanya mengangguk dan bersetuju tanpa tahu hujung pangkalnya.

-Ah – Dia mengeluh. Agak keras. Suatu ketika dahulu dia agak mudah mendapatkan ikan. Tebarkan sahaja jala di sungai, pasti ada saja rezeki yang diperoleh. Kehidupan mereka di Kampung Uma Bawang ini tidak pernah makan nasi tanpa berlaukkan ikan. Lagi-lagi hanya keluhan yang menjadi bahasa dalam dirinya.

-Ah – Dia mengeluh. Agak keras. Suatu ketika dahulu dia agak mudah mendapatkan ikan. Tebarkan sahaja jala di sungai, pasti ada saja rezeki yang diperoleh. Kehidupan mereka di Kampung Uma Bawang ini tidak pernah makan nasi tanpa berlaukkan ikan. Lagi-lagi hanya keluhan yang menjadi bahasa dalam dirinya.

Hatinya tiba-tiba saja marah. Semua permasalahan tersebut berpunca dari pembalakan yang dijalankan secara tidak terkawal. Dalam sebulan ini sahaja, sudah ada tiga kem pembalakan baru yang di bina. Entah-entah dalam sebulan atau dua bulan ini, ada berbelas-belas lagi kem pembalakan akan di wujudkan.

“Semua ini untuk pembangunan. Kita perlu mengubah cara hidup kita. Jangan hanya terikat dengan tradisi. Dunia semakin moden. Hidup kita perlu moden.”
Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata penghulu Imang kepada masyarakat kampong beberapa bulan yang lalu. Hatinya sakit. Hatinya geram. Geram dan sakit sahaja terdetik di hatinya.

Kalau isterinya – Rossa – masih hidup, mungkin kesukaran hidupnya tidak seperti sekarang. Rosa selalu mengambil upah membasuh kain. Kalau tidak pun ke Long Lama untuk menjual kuih. Ada kalanya dia membawa buah-buahan dan sayur-sayuran yang ditanam untuk dijual disana. Namun kematian isterinya adalah kehilangan yang begitu memeritkan jiwa. Hatinya sedih. Pedih. Isterinya lemas apabila tergelincir ke sungai dan kepalanya terhantuk pada batang kayu yang berceracak di tebing sungai itu. Semangat Akam Ipoi pun turut mengalir bersama sungai yang melemahkan urat sendinya.

-Ah- Rosa- rezeki semakin menyempit sekarang. Sungai sudah tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk menjadi tempat mencari rezeki. Usong- anak sulong kita, katanya ingin membantu abang. Dia mahu mencari kerja. Tapi dia tidak mahu bekerja kampong. Dia telah mengikut kawannya; mencari kerja, entah kerja apa. Abang kurang pasti, pekerjaan apakah yang sesuai dengan kelulusannya yang hanya tamat tingkatan lima dengan kelulusan yang tak seberapa???

Akam Ipoi termenung. Angin petang mencuri-curi untuk menyelinap di celah-celah bajunya. Udara kesegaran kampong semakin hilang. Udara di situ hampir sama dengan keadaan di kota. Mana tidaknya. Kilang kauiri, banyak yang dibina di sekitar kampong mereka. Banyak gua-gua kecil yang telah di letupkan, mungkin ini juga, salah stau punca mengapa binatang buruan semakin pudar didapati. Dia bergumam sendirian.

Akam Ipoi meninjau-ninjau di tebing sungai. Dia menanti perahu Usong. Adakah usong telah mendapat pekerjaan. Ah, jangan terlalu mengharap. Bukan senang untuk mendapat pekerjaan sekarang. Bagaimana kalau Usong ingin bekerja di Miri? Bagaimana? Bagaimana? Dia menimbang nimbang kemungkinan itu. Bukankah generasi sekarang suka bekerja dan tinggal di Bandar. Hanya orang-orang tua seperti mereka sahaja yang tinggal di kampong. Rumah-rumah panjang yang telah di bina sejak dahulu kini terasa hilang seri wajah mereka ; golongan tua kerepot yang hanya layak tinggal disitu.

Kerlingan matahari sudah kian menghilang di celah- celah pohon menjadikan situasi di tepi sungai itu kian redup. Sungai tetap mengalir dengan kecoklatannya. Namun kanak-kanak kecil berlari riang di situ. Beberapa orang kawan mereka berlompatan dan membuat pusingan di udara hingga akhirnya memercikkan air ke tebing. Mereka bergelak gembira. Mereka seolah-olah sudah biasa dengan sungai yang berkelodak itu tanpa perasaan jijik. Akam Ipoi merasakan, hanya orang tua sepertinya sahaja yang merasai kesannya. Sewaktu usianya seperti mereka, dia juga bermandi riang di pengkalan itu. Tapi kilau airnya tidak seperti sekarang. Pada waktu itu, dia, Rosa bersama rakan-rakan mereka menyelam sambil menangkap ikan. Semua itu sudah menjadi permainan kepada mereka. Tapi sekarang, Akam Ipoi sedar, aktiviti sedemikian tidak mungkin dapat di laksanakan oleh kanak-kanak pada zaman kini.

Di tengah-tengah keriangan kanak-kanak itu bermandian sambil bermain pasir. Akam Ipoi melihat kelibat Usong sampai berperahu dengan enjin kuasa lima kudanya. Perahu itu bertut-tut-tut perlahan menghampiri tebing. Akam Ipoi melihat senyuman tergaris di wajah Usong yang kian berbalam sejak dahulu menolongnya berkebun. Dia mengharapkan Usong membawa perkhabaran gembira kepada mereka.

-Ayah- Usong dapat kerja. Mulai esok, usong akan bekerja di Kem Balak. Akam Ipoi tidak terkata. Dia mengangguk terpaksa. Usong gembira dan menyalami ayahnya dan terus berlalu.

Akam Ipoi terus membatu di atas batu di tepi sungai. Anggukan sebentar tadi seakan-akan telah mengkelodak sungai jiwanya alam kehidupan, alam memori dan khazanah yang sudah bersebati dengan dirinya akan terpancas dengan keputusannya.

-Rosa-Abang terpaksa. Kegetiran menyebabkan abang terpaksa memilih keputusan ini.
Sekali lagi Akam Ipoi bergumam dia terus duduk di situ melayan rasa. Hari ini, sungai mengalir dengan kelodaknya.

Esok .. pelbagai gambaran buruk yang mengambang di benaknya. Namun dia pasrah. Dia menyerah dan kepada yang Maha Kuasa dia berserah. Moga esok hari semakin cerah…

P/s buat pembaca blog ana, kisah yang ana nukil ini berlatar belakangkan kehidupan masyarakat terpencil yang tinggal di pesisir sungai Baram, yang berkedudukan di hulu pekan Marudi... suku kaum bumiputera sarawak yang dihimpit dengan permasalahan kehidupan dek tenggelam oleh arus pemodenan dan pembangunan, hidup dlm ruang lingkup kepayahan hidup lantaran kurang ilmu pendidikan dan tinggal jauh dari pekan apatah lagi hiruk pikuk kota....

No comments:

Post a Comment

Tentang penulis

My photo
Seindah Hiasan Adalah Wanita Solehah Kau di gelar sebagai penyeri dunia... hadir mu melengkap hubungan manusia... bukan saja dirindui yang biasa... malah adam turut sunyi tanpa hawa... akalmu senipis bilahan rambut... tebalkanlah ia dengan limpahan ilmu... jua hatimu bak kaca yang rapuh... kuatkanlah ia dengan iman yang teguh... Tercipta engkau dari rusuk lelaki... bukan dari kaki untuk di alasi... bukan dari kepala untuk di junjung... tapi dekat di bahu untuk dilindung... dekat jua di hati untuk di kasihi... engkaulah wanita hiasan duniawi....